Pemandu lori mengaku tidak bersalah cubaan bunuh polis, pandu berbahaya

Sinar Harian
April 15, 2024 12:00 MYT
Pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas tiga pertuduhan membabitkan cubaan membunuh anggota polis serta dua lagi kesalahan trafik di Jempol pada minggu lalu. - Foto Sinar Harian
KUALA PILAH: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membabitkan cubaan membunuh anggota polis serta dua lagi kesalahan trafik di Jempol pada minggu lalu.
Tertuduh Muhamad Hasrulnizam Hasim, 21, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh cuba menyebabkan kematian ke atas seorang anggota polis lelaki selepas bertindak melarikan diri dari ditahan polis dengan cara menghimpit dan cuba melanggar motosikal yang dinaiki anggota terbabit sehingga terbabas.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 9 April lalu jam lebih kurang 12.30 hingga 1.15 tengah hari di Kilometer 5 Jalan Serting Tengah-Keratong di Jempol.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kesalahan trafik, pada tarikh sama jam 12.25 tengah hari di kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan di Jempol tertuduh telah memandu lori dalam keadaan melulu dan berbahaya iaitu dengan sengaja menghimpit sehingga hampir melanggar kenderaan polis dan mengundang bahaya kepada orang awam.
Sehubungan itu, dia telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen Akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM15,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu minimum lima tahun, lesen memandu percubaan dibatalkan serta kesalahan akan 'diendors' (dimasukkan) pada lesen memandu.
Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) atas kesalahan memandu lori dengan tidak cermat terhadap pengguna jalan raya dan cuai telah melanggar sebuah motosikal.
Dia boleh dihukum denda sehingga RM10,000 dan boleh dihukum penjara 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM18,000 bagi kesemua pertuduhan dan dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.
Mahkamah seterusnya menetapkan 6 Mei ini bagi pengurusan kes serta lantikan peguam. - Sinar Harian
#pemandu lori #Jempol #cubaan bunuh anggota polis #Mahkamah Majistret
;