Pemandu lori maut nahas, ditimbus pasir

Sinar Harian
September 23, 2023 15:54 MYT
Anggota bomba cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan berkenaan. -Foto Bomba
KLUANG: Seorang pemandu lori maut apabila lori yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di kilometer (km) 87, Jalan Batu Pahat, pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan berkenaan pada 10.44 pagi Sabtu.
“Siasatan awal mendapati lori jenis Hino yang membawa muatan pasir itu dari arah Kahang ke Kluang.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar pokok kelapa sawit di situ.
“Akibatnya, pemandu lori berkenaan tersepit dan dilaporkan mengalami kecederaan dalaman dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Tambah Bahrin, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Shamsul Amri Shahab berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan jalan raya berkenaan yang berlaku di Kampung Contoh, Kahang melalui talian MERS999 pada jam 8.58 pagi.
Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan satu jentera FRT dan satu EMRS dari BBP Kluang dengan lapan anggota bomba telah dihantar ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pihak pasukan keluaran operasi (PKO), mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah lori pasir jenis Hino yang dipercayai telah terbabas dan melanggar pokok sawit.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa (pemandu) telah tertimbus oleh muatan yang dibawa.
PKO kemudiannya telah bertindak menarik keluar lori tersebut dengan bantuan sebuah jengkaut dan mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sekitar 11.30 pagi,” katanya. -Sinar Harian
#Akta Pengangkutan Jalan 1987 #pemandu lori maut #lori muatan pasir #Kahang ke Kluang
;