Pemandu lori maut langgar belakang treler
Bernama
Januari 11, 2017 10:45 MYT
Januari 11, 2017 10:45 MYT
Seorang pemandu lori maut setelah kenderaan yang dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah treler dalam kemalangan di KM 231.9, Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus) arah utara di sini, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, pemandu lori, Lau Seng Koi, 47, mati di tempat kejadian berikutan kehilangan darah yang banyak akibat cedera parah di bahagian kaki selepas tersepit di tempat duduk pemandu.
Pegawai operasi Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mazrulnaim Abdul Hamid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.36 pagi.
"Sebaik tiba, pasukan kami mengambil masa kira-kira 25 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat pemandu dan mendapati dia telah meninggal dunia," katanya ketika ketika dihubungi Bernama.
Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.
-- BERNAMA