Pemandu lori maut ditembak di rumahnya
Astro Awani
September 9, 2016 15:39 MYT
September 9, 2016 15:39 MYT
Seorang pemandu lori maut ditembak pada jarak dekat di rumahnya di Kampung Baru Chenderong, Batu Gajah, pagi tadi.
Pegawai Penyiasat Polis, Penolong Penguasa Faizol Mohd Isa berkata mangsa yang dikenali sebagai Mathan Ragandran atau nama Islamnya Ahmad Nazri Abdullah, 46, ditemui kaku di atas sofa dengan kesan tembakan di kepala.
Menurut Faizol, kejadian itu disedari isteri mangsa, Norliza Omar, 35, apabila pulang setelah menghantar anak mereka ke sekolah pada kira-kira jam 8 pagi.
“Isteri mangsa memberitahu dia terdengar bunyi yang kuat seolah-seolah bunyi mercun dan sejurus tiba di rumah, dia mendapati suaminya terbaring kaku dengan kecederaan akibat tembakan di kepala,” katanya.
Tambah Faizol, polis bergegas ke rumah mangsa setelah Norliza membuat laporan polis.
Polis menemui dua kelongsong peluru yang berada dalam jarak dua meter dari kedudukan mayat mangsa dijumpai.
Mangsa tinggal bersama isteri dan tiga anak perempuan mereka yang berusia di antara lima hingga sembilan tahun.
Polis enggan mengulas sama ada kejadian ini ada kaitan dengan sindiket samseng tetapi mengesahkan mangsa pernah membuat aduan tentang kejadian diekori oleh individu tidak dikenali.
Polis bagaimanapun mengesahkan bahawa mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.