KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori kontena maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (km) 441.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Rawang, awal pagi ini.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.02 pagi sebelum jentera dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu lori kontena, treler dan Proton Persona.

"Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dalam lori kontena tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat kira-kira 6.51 pagi.

Katanya, dua lagi mangsa lelaki tempatan yang mengalami kecederaan ringan diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.