Pemandu lori maut dalam kemalangan babit lima motosikal
Bernama
Mei 30, 2024 11:30 MYT
Mei 30, 2024 11:30 MYT
MELAKA: Seorang pemandu lori maut manakala empat lagi tercedera dalam kemalangan membabitkan lima motosikal di Kilometer 190.7 arah Selatan di Jasin di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi berkata dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa Mohd Afirzul Hamzah, 35, yang bekerja sebagai pemandu lori, berasal dari Jementah, Johor sedang berkonvoi bersama 20 motosikal dari Simpang Ampat, Alor Gajah menuju ke Johor.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, seorang dari ahli konvoi tersebut, Zakrul Ariffin Minhat, 20, melanggar objek di atas jalan dipercayai serpihan tayar kenderaan sebelum hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya.
"Kejadian itu menyebabkan empat lagi motosikal termasuk ditunggang mangsa turut terjatuh ke atas jalan raya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kemalangan tersebut turut menyebabkan Zakrul Ariffin parah di badan manakala tiga lagi mangsa iaitu Muhammad Zarif Zufayri Mazli, 23, (patah bahu kanan), Muhammad Nur Aiman Kamil, 23, (luka di tangan dan kaki) dan Ahmad Farhan Fikri Abd Khalid, 28, (cedera di kepala).
Katanya kesemua mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
-- BERNAMA