Pemandu lori Malaysia bertanding di arena antarabangsa
Ibrahim Sani
November 7, 2017 10:12 MYT
November 7, 2017 10:12 MYT
Pertandingan 'Extra Mile Challenge' anjuran UD Trucks di Tokyo, Jepun bakal menyaksikan penyertaan pemandu lori dari Malaysia, Anuar Ahmad.
Anuar, 45 tahun, akan bersaing dengan pemandu-pemandu lori dari pelbagai negara lain untuk meraih pengiktirafan sebagai pemandu lori yang terbaik di dunia.
Pemandu lori dari Gardenia Bakeries Sdn Bhd itu telah berkhidmat bersama syarikat yang sama selama 20 tahun.
Beliau juga yakin akan memberi persembahan terbaik di dalam pertandingan ini.
“Hasil latihan yang telah diberikan kepada saya membolehkan saya beri yang terbaik di dalam pertandingan ini,” kata Anuar.
Menurut Pengarah Urusan UD Trucks Malaysia, Filip Van den Heede penguasaan pasaran syarikat Jepun ini adalah sekitar 25 hingga 28 peratus di Malaysia bagi segmen ‘medium heavy duty’
"Ertinya, satu dalam empat lori ‘medium heavy duty’ di Malaysia adalah lori UD Trucks. Ini menjadikan UD Trucks antara pengeluar lori yang besar di Malaysia," ujarnya.
Walau bagaimanapun, jelas Filip, milik pasaran ‘heavy duty’ UD Trucks masih jauh ketinggalan.
“Kami hanya peroleh 10 peratus penguasaan pasaran untuk segmen ‘Heavy Duty’. Hanya satu dalam sepuluh milik kami,” tambahnya.
Disebabkan banyak lori UD Trucks berada di jalanan, syarikat ini telah mengambil inisiatif untuk memberikan latihan yang terbaik kepada pemandu-pemandu lori di Malaysia.
Pertandingan Extra Mile Challenge ini adalah antara inisiatif positif yang memberikan pengiktirafan kepada pemandu-pemandu lori yang terbaik di negara ini.
Anuar merupakan juara Malaysia setelah berjaya menundukkan pemandu lain dalam kategori negara Malaysia.
Beliau kini akan bertanding bersama juara-juara negara lain seperti juara negara Afrika Selatan dan juara negara Indonesia.
Pertandingan ini akan berlangsung pada 7 November 2017 di Tokyo Jepun.