Pemandu lori kurier cedera tersepit, langgar belakang treler

Aida Aziz
September 14, 2022 06:15 MYT
Mangsa yang cedera tersepit diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia bagi rawatan susulan. - Foto JBPM Perak
TAPAH: Seorang lelaki cedera tersepit selepas lori muatan kurier yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah treler di Kilometer 331.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, di sini, lewat malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 10.34 malam.
Katanya lagi, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kemalangan membabitkan dua buah kenderaan berat.
"Lori tiga tan itu telah melanggar bahagian belakang treler, susulan kemalangan itu menyebabkan pemandu lori berusia sekitar 40 tahun itu tersepit, manakala pemandu treler selamat.
"Anggota bomba kemudiannya mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat dan kawasan kemalangan dibersihkan dari sisa rempuhan untuk keselamatan pengguna jalan raya lain.
"Mangsa yang cedera tersepit diserahkan kepada pihak ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi rawatan susulan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Fadzriel Md Noor itu tamat pada jam 11.25 malam.
#Nahas #lori muatan kurier #treler #tersepit
;