Pemandu lori gagal kawal kenderaan, isteri maut di tempat kejadian
Nazialita Geynna Maharan
Mac 29, 2018 19:27 MYT
Mac 29, 2018 19:27 MYT
Perjalanan tiga sekeluarga dari Kuala Lumpur berakhir dengan tragis apabila seorang maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer 305.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada Khamis.
Dalam insiden sekitar 7.50 pagi itu, pemandu lori berusia 31 tahun gagal mengawal kenderaan apabila breknya dipercayai rosak, lantas berlanggar dengan sebuah lori lain, menyebabkan isterinya S Rajes, 30 tahun, mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Ng Kong Soon berkata, seorang lagi penumpang hadapan lori berkenaan yang mengalami kecederaan, merupakan adik mangsa dan juga kelindan lori tersebut.
“Siasatan awal mendapati, lori yang membawa mangsa sedang dalam perjalanan ke Ipoh. Setibanya di tempat kejadian, lori itu yang berada di lorong kiri dipercayai telah mengalami masalah brek dan gagal mengelak lori di hadapannya.
“Berikutan impak rempuhan itu, pemandu yang juga suami mangsa, serta adik iparnya, mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh,” katanya kepada pemberita.
Ng berkata, pemandu lori kedua bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Kampar.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.