Pemandu lori edar ganja dihukum gantung
Astro Awani
Mac 28, 2017 13:26 MYT
Mac 28, 2017 13:26 MYT
Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang pemandu lori atas kesalahan mengedar ganja sebanyak 2.7 kilogram.
Mahkamah mendapati Wan Mohamad Lufti Jaffar, 35 tahun, bersalah kerana mengedar ganja itu di depan premis GD Express Sdn Bhd, No 213, Jalan Taiping Parit Buntar pada 26 Julai 2014 jam 12.10 malam.
Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali juga mendapati Wan Mohamad Lufti bersalah atas tuduhan kedua memiliki ganja sebanyak 34 gram pada tarikh, masa dan tempat yang sama.
Bagi kesalahan itu dia dihukum penjara tiga tahun dan dikenakan hukuman rotan, sebanyak lima sebatan.
Hakim memerintahkan Wan Mohamad Lufti menjalani hukuman itu mulai tarikh tangkapan pada 24 Julai 2014.
Menurut hakim, mahkamah berpuas hati kerana pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh tanpa keraguan munasabah.
Katanya, beliau juga mendapati pembelaan tertuduh sepanjanng perbicaraan hanya bersifat penafian semata-mata.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jefry Ong manakala tertuduh diwakili Peguam Khairil Azwar Khalil.