Pemandu lori diupah RM1,500 bawa rokok seludup bernilai lebih RM3 juta

Astro Awani
November 22, 2021 19:02 MYT
Nilai sitaan dan rampasan muatan rokok tidak bercukai itu merupakan yang terbesar direkodkan oleh kontinjen Pahang sepanjang tahun 2021. - Astro AWANI
BENTONG: Seorang pemandu lori yang diupah RM1,500 untuk menghantar rokok tanpa cukai ke Kuala Lumpur, kecewa apabila usaha pertama kali itu gagal selepas ditahan polis.
Lelaki berusia 43 tahun itu ditahan bersama 333 kotak yang masing-masing penuh berisi karton rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM3 juta di Kilometer 55.2 Lebuhraya Karak arah Kuala Lumpur, pada 4.20 pagi Sabtu lalu.
Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman turut menahan seorang lagi lelaki berusia 30 tahun selepas menghampiri ke lori tersebut dan memperkenalkan diri sebagai rakan pemandu lori itu.
“Hasil soal siasat mendapati pemandu lori tersebut telah mengambil upah untuk menghantar rokok seludup itu ke Kuala Lumpur dan suspek mengambil lori dari Kemaman, Terengganu dengan upah sebanyak RM1,500.
“Suspek juga memberitahu lori tersebut ditinggalkan di deretan kedai dan kunci akan diletakkan di bahagian tayar.
“Siasatan awal pihak polis juga mendapati, kedua-dua suspek baru kali pertama menyeludup rokok dari Kemaman untuk dihantar ke Kuala Lumpur,” ujar Mohd Yusri.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, Pahang.
Ujian air kencing mendapati kedua-duanya negatif, dan mereka telah ditahan reman selama empat hari mulai 20 hingga 23 November untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.
Sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang kes atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang kes; atau RM500,000 yang mana lebih tinggi; atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun; atau kedua-duanya sekali.
Tambah Mohd Yusri, anggaran nilai rampasan dan sitaan rokok, termasuk sebuah kereta Toyota Corolla, dan lori muatan 5 tan berjumlah keseluruhan sebanyak RM3.5 juta.
Nilai sitaan dan rampasan muatan rokok tidak bercukai itu merupakan yang terbesar direkodkan oleh kontinjen Pahang sepanjang tahun 2021.
#seludup rokok #pemandu lori #polis #Lebuhraya Karak
;