Pemandu lori diserang sakit jantung, langgar enam kenderaan, dua maut

Bernama
Julai 17, 2024 22:49 MYT
Seorang pemandu dipercayai mengalami serangan jantung sehingga lori dipandunya hilang kawalan lalu merempuh enam kenderaan lain. - Foto hiasan
SEPANG: Seorang pemandu dipercayai mengalami serangan jantung sehingga lori dipandunya hilang kawalan lalu merempuh enam kenderaan lain menyebabkan dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Bukit Dugang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata dalam kejadian jam 9.10 pagi itu dua mangsa lelaki berusia 31 dan 53 tahun maut dengan seorang di lokasi kejadian dan seorang lagi ketika menerima rawatan di Hospital Putrajaya.
Menurutnya siasatan mendapati pemandu lori berusia 40 tahun itu dipercayai terkena serangan jantung menyebabkan lori yang dipandu dari arah Putrajaya menghala ke Jenderam itu hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
"Lori itu kemudiannya melanggar empat kereta dan dua motosikal yang berada di laluan tersebut,"katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata pemandu lori tersebut mengalami cedera parah dan sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Putrajaya.
-- BERNAMA
#pemandu lori #serangan jantung #langgar kenderaan #Polis Daerah Sepang
;