Pemandu lori didenda RM2,000 pindah lembu tanpa kebenaran

Astro Awani
Disember 10, 2021 12:17 MYT
Mohd Aidil (kiri) hadir bersama anaknya (belakang) di Mahkamah Majistret (Munisipal) Butterworth hari ini. - Foto Astro AWANI
BUTTERWORTH: Seorang pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret (Munisipal) Butterworth hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan pemindahan 21 ekor lembu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang.
Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhkan hukuman selepas tertuduh, Mohd Aidil Abdul Halim, 40 tahun, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memindahkan 21 ekor lembu hidup menggunakan lori bernombor pendaftaran DCD 9845 tanpa mendapat kebenaran bertulis pengarah negeri atau mana-mana pihak berkuasa JPV Pulau Pinang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hentian Rehat dan Rawat Sungai Bakap Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pada jam 10. 07 malam, 29 Jan lalu.
Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 yang dibaca di bawah Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 (Akta 647).
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak lebih RM15,000 mengikut Subseksyen 36 (7) Akta Binatang 1953.
Prosiding dijalankan Pegawai Pendakwa JPV Negeri Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuannya, Mohd Aidil memohon mahkamah meringankan hukuman denda ke atas dirinya dengan alasan perlu menyara keluarga dan membayar insurans pinjaman perumahannya.
Dalam penghakimannya, Noor Farah Hazwani berkata, tertuduh dikenakan hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan hasil jualan ternakan sebanyak RM7,200 dilucuthak.
Tertuduh yang ditemani anak lelakinya menjelaskan bayaran denda yang dikenakan.
#pindah lembu #Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang
;