Pemandu lori didakwa tunjuk kemaluan kepada kanak-kanak

Sinar Harian
Julai 28, 2024 08:25 MYT
Mohd Irwan (kiri) dikawal ketat keluar lokap Mahkamah Kota Bharu. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Ahad atas dua tuduhan melakukan amang seksual dengan memegang tangan, paha dan menunjukkan kemaluan kepada kanak-kanak perempuan, pada 20 Julai lalu.
Tertuduh, Mohd Irwan Ismail, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang tangan dan paha mangsa yang berusia sembilan tahun di dalam sebuah lori di sekitar kawasan tepi tali air, Kampung Pinggir Tapang di sini, pada jam 12 tengah hari.
Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.
Pada pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal ke atas mangsa sama dengan menunjukkan kemaluannya kepada kanak-kanak itu pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.
Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam, Nik Mohamad Amin Nik Abdullah.
Sebelum itu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh.
Nik Mohamad Amin pula memohon kepada mahkamah untuk membuat permohonan jaminan secara bertulis.
Mahkamah kemudian menetapkan kes untuk sebutan semula pada 28 Ogos ini.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#pemandu lori #amang seksual #tunjuk kemaluan #kanak-kanak perempuan #Kota Bharu