Pemandu lori didakwa pukul anjing dengan kayu

Bernama
Januari 31, 2023 12:30 MYT
Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Selangor atas pertuduhan memukul seekor anjing dengan sebatang kayu sehingga cedera. - Gambar BERNAMA
KUALA SELANGOR: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul seekor anjing dengan sebatang kayu sehingga cedera.
Mohd Zainal Mat Daham, 41, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa melakukan perbuatan tersebut sehingga menyebabkan haiwan itu mengalami kecederaan di bahagian kaki kanan hadapan dan belakang.
Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di hadapan pos pengawal sebuah kawasan perumahan di Bandar Puncak Alam, dekat sini, pada 8.30 malam, 29 Okt tahun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd Sharif Sabran memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah atas alasan dia penanggung utama keluarga.
"Saya tidak mampu puan, saya mohon jaminan yang seringan-ringannya," katanya.
Hakim Zafirah Zainal Abdidin membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan menetapkan 28 Feb ini untuk sebutan semula kes.
Mohd Zainal membayar jaminan tersebut. - BERNAMA
#pemandu lori #pukul anjing dengan kayu #pos pengawal #Bandar Puncak Alam
;