Pemandu lori didakwa lakukan amang seksual terhadap anak kandung
Bernama
September 4, 2024 15:10 MYT
September 4, 2024 15:10 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori sebuah syarikat pengeluar produk roti mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang anak perempuan kandungnya sejak tahun lepas.
Ringkasan AI
- Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang berumur 12 dan 13 tahun.
- Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan jaminan kerana keseriusan pertuduhan dan hubungan keluarga antara tertuduh dan mangsa.
- Hakim tidak membenarkan jaminan dan menetapkan sebutan kes pada 13 November untuk serahan dokumen.
Lelaki berumur 41 tahun berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu ketika mangsa berumur 12 tahun dan 13 tahun di sebuah rumah di Hulu Langat, Jalan Semenyih pada 7.30 pagi pertengahan Okt 2023 dan 11.45 malam pada 21 Ogos 2024.
Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim tidak menawarkan jaminan atas alasan kedua-dua pertuduhan itu serius selain tertuduh ialah bapa kandung mangsa dan masih suami kepada ibu mangsa serta mereka tinggal di rumah sama.
Pada prosiding hari ini, tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Norshila Kamaruddin tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan kes pada 13 Nov ini untuk serahan dokumen.
-- BERNAMA