Pemandu lori dibelasah akui dirinya diugut supaya tidak lapor polis

Bernama
Januari 22, 2017 15:49 MYT
Menurut mangsa, kumpulan lelaki terbabit merupakan 'gangster' besar dan ia akan membahayakan keselamatannya jika membuat keputusan yang salah. - Gambar fail
Pemandu lori yang cedera dibelasah sekumpulan lelaki di kondominium Puncak Anthenaneum, Bukit Antarabangsa pada 14 Jan lepas tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis kerana telah diugut.
Mangsa Nasrul Faiz Zulfahmi, 25, berkata beliau bimbang akan keselamatan diri memandangkan kumpulan lelaki itu dipercayai gangster dan berbahaya.
"Selepas kejadian itu, pihak syarikat telah dihubungi oleh individu terbabit agar tidak melaporkan kepada pihak berkuasa.
"Menurut pengurus saya, kumpulan lelaki terbabit merupakan 'gangster' besar dan ia akan membahayakan keselamatan saya sekiranya membuat keputusan yang salah," katanya kepada pemberita pada perhimpunan aman bagi memberi sokongan terhadap Nasrul Faiz di sebuah stesen minyak di Sungai Besi di sini, hari ini.
Menceritakan kembali detik hitam itu, Nasrul Faiz berkata beliau mengakui yang tindakannya itu salah namun tidak menyangka akan diperlakukan sedemikian rupa.
Katanya, kereta berkenaan berada dekat dengan lori yang dipandunya dan dia sendiri tidak menyedari kereta itu berada di situ
"Hanya kerana nombor (plat) kenderaan patah, saya dipukul sehingga menerima 13 jahitan di leher.
"Keadaan berlaku dengan pantas, apabila salah seorang daripada kumpulan lelaki itu menarik saya sebelum rakannya datang menyepak saya di kepala sehingga saya jatuh," katanya.
Perhimpunan yang disertai lebih 200 pemandu lori anjuran Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) itu dilakukan bagi mendesak polis mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan lelaki yang membelasah Nasrul Faiz hingga cedera.
Presiden IKHLAS Mohd Ridzuan Abdullah, berkata perbuatan ganas dan tidak berperikemanusian seperti itu tidak seharusnya dibiarkan begitu saja dan tindakan tegas harus diambil.
"Saya difahamkan polis sudah melakukan beberapa tangkapan berhubung kes ini dan saya berharap mereka tidak terlepas daripada tindakan undang-undang," katanya.
Perhimpunan selama satu jam bermula jam 11 pagi itu berakhir tanpa sebarang kekacauan.
Semalam, Ketua Polis Daerah Ampang ACP Hamzah Alias berkata polis telah merakam percakapan 15 individu bagi membantu siasatan kes itu dan telah menghantar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kondominium itu ke makmal untuk dianalisis.
Setakat ini, seorang lelaki berusia 32 tahun direman empat hari bermula Khamis lepas bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
#Ampang #Bukit Antarabangsa #kes viral #mandu lori dibelasah #mangsa pukul #pe #pemandu lori
;