Pemandu lori degil, bawa lebih muatan
Afiezy Azaman
April 20, 2019 18:21 MYT
April 20, 2019 18:21 MYT
Sebanyak 50 saman dikeluarkan terhadap pemandu lori atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Lebih Muatan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pada Sabtu.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid operasi berkenaan bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada 5 petang disertai 13 pasukan dari Ibu Pejabat JPJ, Selangor dan Wilayah Persekutuan.
"Operasi hari ini tertumpu kepada dua kawasan iaitu dari Bukit Tagar ke Dengkil dan Nilai ke Dengkil.
"Terdapat 20 kes lori membawa lebih muatan dan disaman mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (2010).
"Manakala 30 kes lagi berkaitan dengan kesalahan parkir, tiada lesen dan kesalahan teknikal (tambah pagar) dan kesemua ini disaman mengikut Akta Pengangkutan Jalan (1987)," katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat JPJ Putrajaya, pada Sabtu.
Sementara itu, Shaharuddin berkata kesalahan yang sering dilakukan pemandu lori secara keseluruhannya adalah membawa lebih muatan.
"Bermula Januari sehingga Mac tahun ini, keseluruhan kes melibatkan lori membawa lebih muatan adalah sebanyak 13,744 kes di seluruh negara dengan nilai kutipan kompaun RM1.7 juta.
"Bagi di Sabah dan Sarawak terdapat 1,383 kes saman yang dikeluarkan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan terdapat (LPKP) dengan nilai kompaun lebih RM150,000," jelas beliau.
Ditanya apakah alasan yang sering diberikan oleh pemandu lori apabila membawa lebih muatan Shaharuddin berkata ia lebih kepada mahu kejar 'trip', lebih jimat dan upah yang pemandu lori terima.
"Isu lebih muatan ini satu perkara yang biasa bagi pemandu lori tetapi ia menyebabkan gangguan kepada serta membahayakan pengguna jalan raya, pihak JPJ sentiasa menerima aduan orang awam dan melakukan tindakan segera sekiranya terdapat laporan," ujarnya.
#Akta Pengangkutan Awam Darat
#Jabatan Pengangkutan Jalan
#JPJ
#lori lebih muatan
#LPKP
#operasi
#saman
#Shaharuddin Khalid