Pemandu lori cedera dihempap kontena jatuh jejambat

Sinar Harian
April 5, 2022 18:15 MYT
Sebuah kontena berisi kotak kitar semula dari sebuah lori terjatuh dari atas jejambat dan insiden itu tular menerusi beberapa video di media sosial.
KLANG: Seorang pemandu lori cedera akibat dihempap sebuah kontena yang jatuh dari jejambat pada ketinggian lebih 12 meter di Jalan Pelabuhan Klang di sini, pada Selasa.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, mangsa dikenali Rusaini Hassani, 49, dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini untuk rawatan lanjut.
"Berdasarkan maklumat, sebuah kontena berisi kotak kitar semula dari sebuah lori telah terjatuh dari atas jejambat. Kontena itu kemudian menghempap dua buah lori yang sedang lalu di bawah jejambat.
"Salah satu daripada lori tersebut dihempap di bahagian hadapan dan pemandunya tersepit," katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Menurutnya, seramai enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.17 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati sebuah lori kontena dari arah jejambat Westport menuju ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) telah hilang kawalan sebelum terbabas.
"Kontena itu terjatuh dan menghempap dua lori. Kami telah merakam percakapan pemandu lori kontena itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Pada Selasa, insiden tersebut tular menerusi beberapa video di media sosial.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN
#dihempap kontena #Jalan Pelabuhan Klang #pemandu lori cedera #Balai Bomba dan Penyelamat
;