Pemandu lori bawa muatan kereta polis lelong secara bahaya disaman
Abd Razak Mohd Ali
Februari 14, 2022 19:44 MYT
Februari 14, 2022 19:44 MYT
TAPAH: Polis telah nengeluarkan saman terhadap pemandu lori yang membawa muatan beberapa buah kereta polis secara berbahaya, sehingga tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, saman dikeluarkan di bawah Kaedah Lalulintas 18 LN 166/59 selepas kertas siasatan selesai dan pemandu lori dipanggil untuk dirakam percakapan.
Menurutnya, pada 5 Februari lalu, pihak polis telah terkesan di media sosial mengenai satu video berdurasi 58 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter bernama “nan manjoi8715”, memperlihatkan sebuah lori membawa muatan kereta peronda polis yang telah dilelong dengan cara bahaya.
“Ekoran daripada penularan video tersebut, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah telah membuka satu kertas siasatan di bawah Kaedah Lalulintas 18 LN 166/59,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati sebanyak lapan buah kereta peronda polis yang dibawa oleh lori itu adalah hasil jualan lelong aset alih kerajaan Ibu Pejabat Polis Seremban.
Menurutnya, kenderaan-kenderaan tersebut telah dikumpulkan di kawasan Industri Seremban dan seterusnya dibawa menggunakan lori ke Ipoh.