Pemandu lori balak maut digilis jentera berat

Bernama
Mac 9, 2024 11:30 MYT
Pemandu lori maut digilis jentera berat selepas terjatuh akibat tergelincir ketika sedang mengikat kayu balak dalam kejadian di Kilometer (KM) 26 Jalan Jerantut-Padang Piol dekat kawasan matau balak pada Jumaat. - Gambar hiasan/Sinar Harian
JERANTUT: Seorang pemandu lori balak maut digilis sebuah jentera berat selepas tergelincir dan jatuh dari kenderaannya semasa sedang mengikat kayu balak dalam kemalangan di Kilometer (KM) 26 Jalan Jerantut-Padang Piol di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Azman Mat Kamis berkata kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu Saifulnizam Zakaria, 41, yang beralamat di Kuala Lipis, Pahang meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa Saifulnizam sedang mengikat muatan balak di atas lorinya menggunakan rantai besi.
"Semasa mengikat balak tersebut, mangsa telah tergelincir lalu terjatuh di belakang kenderaannya. Pada masa sama, pemandu jentera berat yang sedang mengangkat balak tidak menyedari mangsa terjatuh sebelum menggilis mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#pemandu lori balak #tergelincir #jentera berat #Nahas
;