Pemandu lori ais maut rempuh papan tanda jalan
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 17, 2022 18:53 MYT
Mei 17, 2022 18:53 MYT
TASEK GELUGOR: Seorang pemandu maut selepas lori muatan ais yang dipandunya terbabas dan melanggar papan tanda jalan di Jalan Permatang Manggis, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Selasa.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa lelaki berusia 20 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala rakannya yang juga kelindan lelaki berusia 22 tahun cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Mohd Rdzi Ahmad berkata kenderaan yang dinaiki mangsa dipercayai telah hilang kawalan sejurus melalui satu selekoh lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar papan tanda di sebelah kiri jalan berkenaan.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kelindan lelaki hanya mengalami cedera ringan dan di rawat di Unit Kecemasan Hospital Kepala Batas.
"Siasatan juga mendapati pemandu lori ais itu tidak mempunyai lesen memandu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mayat mangsa dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.
Mohd Radzi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tular video dan gambar kemalangan lori ais yang terbabas sendiri dalam laman sosial Facebook.
Rakaman tersebut memaparkan seluruh bahagian cermin depan lori berkenaan pecah, bahagian belakang remuk serta terdapat puluhan beg mengandungi ais batu yang dipercayai untuk dihantar ke premis berhampiran berada di tepi jalan berkenaan.
#lori ais
#pemandu lori ais
#terbabas
#rempuh papan tanda
#Jalan Permatang Manggis
#Kepala Batas
#Polis Daerah Seberang Perai Utara