Pemandu lawan arus didakwa kes dadah

Astro Awani
Mac 17, 2017 12:54 MYT
Ng Pei Ven (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan mengambil dadah jenis amphetamine ketika kejadian kemalangan pada Selasa lalu. --fotoBERNAMA
Model sambilan yang memandu melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan maut di KM 134 Lebuhraya Utara Selatan dekat sini pada Selasa didakwa di Majistret Bukit Mertajam hari ini.
Tertuduh, Ng Pei Ven, 19, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengambil dadah jenis amphetamine sewaktu kejadian.
Dia meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.
Mengikut pertuduhan, Ng didakwa telah memasukkan dadah jenis amphetamine (syabu) ke dalam tubuhnya di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah pada 5 petang, 14 Mac lepas.
Bagi kesalahan itu dia dituduh di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Mahkamah ASP Md Azman Kadir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri ke Jabatan Narkotik di balai polis berdekatan.
BACA: Kemalangan melawan arus, polis terima empat laporan
BACA: Pemandu khayal sebelum terlibat kemalangan lawan arus - Polis
Pihak pendakwaan juga turut memohon supaya mahkamah menggantung lesen memandu tertuduh.
Namun, perkara itu belum dapat diputuskan oleh mahkamah memandangkan siasatan kes trafik ke atas tertuduh menurut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih belum selesai.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan Ng diikat jamin RM5,000 dengan dua orang penjamin dan perlu melapor diri ke balai polis seminggu sekali.
Sebutan semula kes ditetapkan 12 Mei depan.
Dalam insiden 7.50 pagi Selasa itu, suspek memandu melawan arus sejauh lima kilometer dari Plaza Tol Sungai Dua menghala ke Butterworth.
Dia kemudiannya merempuh sebuah Perodua Kelisa dan menyebabkan kematian pemandunya Mohamad Fandi Rosli, 26.
Ng merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah kategori masalah pembelajaran.
#Dadah #kemalangan maut #memandu melawan arus #Syabu
;