Pemandu kren TNB maut bertembung treler

Adie Sufian Zulkefli
September 13, 2023 16:49 MYT
Kejadian nahas yang mengorbankan Hasbullah Mohd Salleh, 38, setelah mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. -Astro AWANI
ALOR SETAR: Seorang pemandu kren Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut dalam nahas jalan raya di Jalan Alor Setar - Sungai Petani, di sini, pada Rabu.
Mangsa Hasbullah Mohd Salleh, 38, yang berasal dari Baling meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, kejadian jam 4.15 pagi itu dipercayai berlaku ketika sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun dalam perjalanan dari arah Alor Setar ke Sungai Petani, manakala mangsa dari arah bertentangan.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori treler hilang kawalan dan bahagian kontena lori masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan bahagian hadapan lori kren yang bergerak dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu lori kren TNB disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#Hasbullah Mohd Salleh #pemandu kren TNB #Jalan Alor Setar - Sungai Petani #nahas dengan treler
;