Pemandu kontena maut, motosikal rempuh lori sampah

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 7, 2024 11:40 MYT
Muhammad Zaini maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori sampah di Jalan Lencongan Timur, di Sungai Petani, hari ini. - Foto PDRM
SUNGAI PETANI: Seorang pemandu kontena maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah lori sampah di Jalan Lencongan Timur, di sini, hari ini.
Mangsa, Muhammad Zaini Zackaria, 51 tahun, yang berasal dari Bandar Seri Astana, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala akibat hentaman kuat besi di belakang lori.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian jam 7 pagi itu mangsa yang menunggang Yamaha Y15ZR sedang dalam perjalanan menuju ke arah Taman Sejati.
“Hasil siasatan awal mendapati, lori sampah telah mengalami kerosakan dan berhenti di bahu jalan sebelah kiri. Mangsa dipercayai tidak nampak lori tersebut lalu merempuh belakang kenderaan itu.
“Akibat dari kemalangan, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#pemandu kontena maut #lori sampah #penunggang motosikal maut #Sungai Petani
;