Pemandu, kelindan lori bawa syabu dicekup

Sinar Harian
Januari 24, 2022 10:32 MYT
Lori yang dipercayai digunakan pemandu dan kelindan untuk membawa 1 kg syabu ketika ditahan polis di tepi jalan Salor menghala ke Pasir Mas pada Ahad. -Foto Sinar Harian
PASIR MAS: Seorang pemandu dan kelindan lori dicekup selepas didapati membawa satu kilogram (kg) dadah jenis syabu ketika ditahan polis di tepi jalan Salor menghala ke Pasir Mas di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, dadah tersebut ditemui berada di bahagian tengah tempat duduk di antara ruang pemandu dan penumpang.
"Pada jam 3 petang, sepasukan polis telah menahan sebuah lori yang dinaiki dua lelaki berusia 32 dan 36 tahun di jalan Salor.
"Sejurus ditahan polis, pemandu lori berusia 32 tahun telah menunjukkan beg plastik yang diletakkan di bahagian tengah tempat duduk di antara ruang pemandu dan penumpang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam beg plastik sambil disaksikan oleh kedua-dua suspek tersebut membawa kepada penemuan bungkusan mengandungi dadah.
Beliau berkata, hasil soal siasat, pemandu lori itu mengaku hanya mengambil upah sebagai penghantar dadah dengan bayaran sebanyak RM200 untuk sekali penghantaran.
Mohd Nasaruddin berkata, pemandu tersebut mendedahkan dia mengambil bekalan dadah dari seorang lelaki yang tinggal di Peringat, Kota Bharu.
"Usaha mengesan suspek utama sedang giat dijalankan polis ketika ini. Nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM36,000," katanya.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Beliau berkata, saringan air kencing mendapati pemandu negatif dadah dan dia juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Katanya, bagaimanapun kelindan lori itu didapati positif methamphetamine, namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
*Berita asal di Sinar Harian
#Syabu #Mohd Nasaruddin M Nasir #pemandu dan kelindan lori #Pasir Mas
;