Pemandu jengkaut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh
Adie Sufian Zulkefli
Julai 30, 2022 13:26 MYT
Julai 30, 2022 13:26 MYT
ALOR SETAR: Seorang pemandu jengkaut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang, di sini, hari ini.
Ketika kejadian pukul 9 pagi itu, mangsa dikatakan sedang menjalankan kerja-kerja di tapak pembinaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sebaik menerima laporan pada pukul 9.37 pagi, dua pasukan iaitu masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pokok Sena dan Alor Setar dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Mangsa seorang lelaki berusia 40-an dikatakan sedang mengendalikan jengkaut secara tiba-tiba runtuh dan menimbus mangsa.
"Ketika ini anggota sedang melakukan kerja-kerja mengalihkan timbunan batu dan tanah bagi mengeluarkan mangsa," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini identiti mangsa belum dikenal pasti.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan dengan bantuan sebuah jengkaut lain.