Pemandu jengkaut maut dihempap tembok

Astro Awani
Ogos 21, 2021 17:07 MYT
Seorang pemandu jengkaut maut selepas dihempap tembok penahan di sebuah tapak pembinaan berhampiran Flora Damansara, pagi tadi. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu jengkaut maut selepas dihempap tembok penahan di sebuah tapak pembinaan berhampiran Flora Damansara, Jalan PJU 8, Damansara Perdana pagi tadi.
Menurut Ketua Zon 2 Petaling Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Penguasa Kanan Bomba 1 Wan Shahriman Wan Salleh, insiden dilaporkan berlaku pada jam 11.45 pagi.
Katanya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara tiba pada kira-kira jam 12 tengah hari di lokasi kejadian.
Sejurus tiba, pihak bomba mendapati tembok penahan itu telah runtuh menghempap jengkaut yang dipandu mangsa.
Jelasnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang melakukan kerja-kerja pembinaan dan dipercayai tertimbus bersama runtuhan berkenaan.
Mangsa berjaya dikeluarkan kira kira 30 minit kemudian, namun lelaki warga asing berusia 35 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
“Sampai di tempat kejadian kami dapati satu pekerja pemandu kren jengkaut sedang melaksanakan proses kerja di sebelah tapak bangunan dan kami dapati ada ‘retaining wall’ bersama-sama dengan tanah telah menghempap pemandu kren.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak kkm (Kementerian Kesihatan) semasa operasi itu berlaku,” katanya.
Wan Shahriman memaklumkan, laluan berkenaan selamat digunakan untuk orang ramai kerana kemalangan itu berlaku jauh dari jalan utama.
Tambahnya, setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan.
#pemandu jengkaut #maut dihempap tembok #flora damansara #Damasara Perdana #warga asing
;