Pemandu jengkaut ditemui maut
Adie Sufian Zulkefli
Julai 30, 2022 14:13 MYT
Julai 30, 2022 14:13 MYT
ALOR SETAR: Mayat seorang lelaki yang juga pemandu jengkaut yang tertimbus ditemui di bawah timbunan tanah di kawasan tapak pembinaan Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang, di sini, pada pukul 12.38 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mayat Muhammad Nasir Awang Ali, 40, ditemui pasukan bomba ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi mencari mangsa dilakukan hampir tiga jam sebelum mayat pemandu jengkaut itu ditemui tertimbus tidak jauh dari jengkaut berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kerja-kerja mencari mangsa dilakukan dengan bantuan dua buah jengkaut.
“Kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa dilakukan dengan hati-hati kerana bimbang tanah akan runtuh lagi menimbus mangsa,” ujar beliau.