Pemandu Jabatan Kehakiman Syariah Perak maut dalam kemalangan dengan treler

Abd Razak Mohd Ali
Mei 7, 2021 18:25 MYT
Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Radzay Osman disahkan maut di tempat kejadian. - Foto ihsan pembaca
KUALA KANGSAR: Seorang pemandu Jabatan Kehakiman Syariah Perak maut dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kuala Kangsar-Taman Rengas, berhampiran Stesen Keretapi Padang Rengas, dekat sini, hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Radzay Osman, 42, disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Izuwan Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 1.48 tengah hari.
Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah treler tanpa muatan dengan sebuah kereta Proton Preve milik Jabatan Kehakiman Syariah Perak.
“Anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa dari dalam kereta,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
#kemalangan #maut #Pemandu Jabatan Kehakiman Syariah Perak #Kuala Kangsar #mayat #polis #treler #bomba
;