Pemandu Honda Jazz sebabkan dua remaja maut tiada lesen memandu

Sinar Harian
Mac 8, 2025 16:18 MYT
Laporan Sinar Harian mengenai kematian dua remaja akibat dirempuh kereta langgar lampu isyarat. (Gambar kecil: Mohamad Hatta)
SEREMBAN: Pemandu kereta Honda Jazz yang melanggar lampu isyarat di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini sehingga mengakibatkan dua remaja maut dalam kejadian Khamis lalu didapati tidak mempunyai lesen memandu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pemandu kereta terbabit berusia 18 tahun dan bukannya 15 tahun seperti mana didakwa di media sosial.
"Kita masih menjalankan siasatan lanjut kes ini dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kerana boleh mengganggu proses siasatan dan menjaga sensitiviti mereka yang berkaitan.
"Buat masa ini keterangan pemandu kereta terbabit masih belum diambil kerana mangsa masih dirawat di hospital," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mengulas lanjut beliau berkata, kes masih diteruskan di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan juga akan menjurus kepada kesalahan-kesalahan di bawah akta tersebut termasuk tiada lesen memandu.
Dalam kejadian 8.30 malam Khamis, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu kereta Honda Jazz serta dua motosikal jenis Modenas Kriss dan Honda Vario.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu remaja lelaki terbabit bersama seorang penumpang sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi dan gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Kemalangan itu menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss masing-masing berumur 15 dan 16 tahun mengalami parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mereka yang meninggal dunia ialah Muhammad Aidil Ramdan, 15, dan Muhammad Aswari Lotpi, 16.
Sementara itu, pemandu dan penumpang kereta Honda Jazz serta penunggang dan pembonceng motosikal jenis Honda Vario mengalami cedera parah menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
Difahamkan, pemandu Honda Jazz terbabit masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
Susulan kejadian itu, banyak pihak meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemandu Honda Jazz berkenaan yang didakwa memandu secara berbahaya hingga membawa kepada kematian.
Sementara tindakan kakak pemandu berkenaan yang dilihat seolah memihak adiknya menerusi beberapa status di media sosial turut menimbulkan kemarahan netizen. -- Sinar Harian
#pemandu Honda Jazz #sebabkan kematian dua remaja #Senawang #tiada lesen memandu
;