Pemandu Hilux mengaku tidak bersalah, pandu melulu hingga empat beranak maut

Astro Awani
Mac 16, 2022 13:52 MYT
Aliff Asyraf (kiri) hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dengan bertongkat serta memakai pendakap leher dan badan, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan empat sekeluarga di Lebuhraya Sultan Iskandar tiga minggu lepas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas satu pertuduhan memandu secara melulu.
Lapor Sinar Harian, tertuduh, Aliff Asyraf Abu, 27, yang hadir bertongkat serta memakai pendakap leher dan badan ke mahkamah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu Toyota Hilux didakwa memandu kenderaan tersebut dengan melulu atau kelajuan berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian terhadap P. Milan Damani, 32, C. Tinisha, 31, Rihaan Ivaan Damani ,4, dan Ishaan Ivaan Damani, 3.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Lebuhraya Sultan Iskandar di sini pukul 11.20 pagi pada 27 Februari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000 selain hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang lima tahun jika sabit kesalahan.
Selain itu, butir-butir sabitan diendorskan pada lesen pemandu dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Izzat Hasizan yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.
"Ini merupakan kali pertama tertuduh didakwa di mahkamah dan semasa kejadian dia tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah," katanya.
Kemalangan | Empat sekeluarga maut di Lebuhraya Sultan Iskandar
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin beserta lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 28 April depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, tertuduh yang diiringi pegawai polis tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada jam 8.59 pagi tadi dengan memakai kemeja T hitam, berseluar denim biru gelap selain bertopi dan memakai kaca mata hitam.
Pada 27 Februari lalu, empat sekeluarga maut di tempat kejadian apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex dinaiki dirempuh sebuah Toyota Hilux.
#kemalangan #Akta Pengangkutan Jalan 1987 #Mahkamah Majistret
;