Pemandu Grab semakin 'tenat' bila lebih ramai WFH

Wan Syamsul Amly
Oktober 21, 2020 16:17 MYT
Kerajaan diharap mengambil berat dan memikirkan dana atau bantuan sesuai untuk mengelakkan kesengsaraan pemandu e-hailing yang bekerja sepenuh masa dalam industri berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemandu e-hailing yang sedia tertekan dengan situasi semasa kini makin 'tenat' selepas arahan terbaharu kerajaan agar lebih ramai kakitangan bekerja dari rumah (WFH) yang bermula pada Khamis.
Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf Ali berkata, peraturan baharu itu sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap nasib mereka yang baru mendaftar sebagai pemandu e-hailing.
"Persediaan apa lagi (boleh dibuat) sebab kita faham (ada) pemandu baru hendak bernafas selepas habis Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir sebelum ini, jadi bila masuk PKPB baharu, kita baru hendak bernafas, semua terkontang-kanting, semua jadi masalah balik.
"Sepatutnya ekonomi makin pulih sehari demi sehari, apabila kerajaan tetapkan waktu untuk pengurusan pula, sudah tentu pelanggan semakin sedikit kerana sekolah tutup dan semua tutup serta semua kerja dari rumah.
"Kerja untuk kami semakin menurun, kebanyakan orang juga sudah belajar dan membuat persediaan dari PKP sebelum ini, mereka tahu kos membuat pesanan lebih tinggi dari buat sendiri di rumah," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Rabu.
BACA: Maksimum 30 peratus pekerja sektor awam dibenar masuk pejabat
Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, seramai 776,135 individu atau 25 peratus pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan diarahkan bekerja dari rumah bermula Khamis.
BACA: PKPB: 10 peratus pekerja pengurusan, penyeliaan dibenarkan di pejabat
Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 3.1 juta pekerja di Sabah, Labuan, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, dalam bidang pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan.
Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, MITI juga bersetuju membenarkan maksimum 10 peratus pekerja merangkumi tugasan melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan ICT untuk berada di pejabat.
Arif Asyraf turut berharap kerajaan mengambil berat dan memikirkan dana atau bantuan sesuai untuk mengelakkan kesengsaraan pemandu e-hailing yang bekerja sepenuh masa dalam industri berkenaan.
Ia termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada semua pemandu e-hailing yang benar-benar layak.
"Apabila kerajaan mengumumkan waktu kerja baharu ini, saya tidak tahu bagaimana implikasi pemandu Grab ini untuk meneruskan pekerjaan mereka.
"Kita lihat ramai yang terpaksa memulangkan kereta sewa, tempahan semakin lama semakin sikit, kos sewaan juga tidak boleh menampung kos makan minum harian dan asas kehidupan," katanya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Gabungan Teksi SeMalaysia, Kamarudin Mohd Hussain menegaskan, situasi ini akan mengurangkan pergerakan ekonomi untuk pemandu teksi yang sudah terbeban dengan pelbagai masalah kewangan sebelum ini.
Tegasnya, ada juga pemandu teksi yang terpaksa menanggung hutang 'Along' akibat kesempitan hidup untuk meneruskan kehidupan harian.
"Keadaan ini secara total akan mengurangkan pergerakan ekonomi, penumpang yang sudah mula ada mungkin terpaksa duduk di rumah, jadi kita menghadapi masalah di situ. Jadi, sebelum ini kita sudah tidak boleh teruskan hidup, wang yang ada sudah terpakai, ada yang pinjam 'Along' sebab kita hendak teruskan kehidupan.
"Ini satu keadaan yang sangat-sangat memberi kesan yang sangat buruk kepada pemandu teksi yang masih ada hari ini. Jadi harapan saya supaya kerajaan melihat perkara ini dan mempertimbangkan untuk membantu pemandu teksi selain daripada kerajaan mewujudkan kesamarataan yang benar-benar adil kepada pemandu teksi.
"Kami berharap kerajaan khususnya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memberi geran-geran khas kepada pemandu teksi dan kereta sewa di negeri-negeri yang terpaksa PKPB ini semula," jelasnya.
Kementerian Kewangan pada April mengumumkan bayaran RM600 secara ‘one-off’ kepada pemandu teksi dan pemandu pelancong yang berdaftar sebagai tanda keprihatinan kerajaan dengan impak wabak COVID-19 terhadap semua golongan masyarakat khususnya industri yang berasaskan kepada industri pelancongan.
#Muhyiddin Yassin #Azmin Ali #MITI #COVID-19 #PKP #WFH #work from home #Arif Asyraf Ali #e-hailing #PKPB #perintah kawalan pergerakan bersyarat #Bekerja Dari Rumah
;