Pemandu Grab duta Malaysia, korban cuti keluarga di Melaka, pulang dompet penumpang Singapura diutama

Razak Chik
Januari 9, 2020 23:57 MYT
Syabas Sateesh Karuppusamy Anda mulia, duta Malaysia! Foto: Facebook @Carney Mak
PEMANDU teksi sering diberi jolokan duta kecil kerana berupaya menonjolkan imej mulia dan gambaran hidup sebenar sesebuah negara kepada pelawat dan pelancong yang berkunjung.
Bagi Sateesh Karuppusamy, 39; seorang pemandu Grab yang menetap bersama isteri dan tiga orang anak di Johor Bahru, gelaran atau habuan bukan perkara pertama yang terlintas pada dirinya apabila diberitahu seorang penumpang tercicir sebuah dompet berisi wang dalam kereta Grab yang dipandunya.
Beliau sanggup mengganggu percutian bersama keluarganya di Melaka untuk bertemu dan memulangkan dompet kepada penumpang yang berasal dari Singapura.
Carney Mak, 31 memang penumpang bertuah kerana Sateesh sanggup berkorban kerana tidak rela membiarkan seorang yang menaruh harapan dikecewakan.
Mak, seorang penasihat pelaburan menggunakan perkhidmatan kereta sewa Grab Sateesh di Johor Baru pada petang Sabtu lalu.
Beliau menghubungi Grab setelah sedar tercicir dompet semasa masih di Johor Baru dan meraba-raba mencari dompet apabila cuba membayar bil makanan di sebuah restoran.
Menggunakan aplikasi Grab, beliau berjaya dihubungkan dengan Sateesh.
Pada waktu diberitahu tentang insiden keciciran dompet itu, Sateesh, bapa kepada tiga orang anak sudah berada di Melaka untuk bercuti.
Beliau juga terasa agak kurang yakin dompet itu masih ada di dalam keretanya kerana ada mengambil beberapa penumpang lain selain dari Mak pada Sabtu malam kejadian.
Hatinya melonjak apabila mendapati dompet Mak masih ada di dalam keretanya setelah memeriksa tempat duduk belakang keretanya. Wang dan dokumen peribadi Mak masih dalam keadaan kandungan seolah tidak terusik.
Sateesh terus berhubung dengan Grab memberi khabar gembira itu dan mencadang akan kembali ke Johor Baru sambil menyebut `esok.’
Namun `esok’ pada Karuppusamy diniatkan sebagai Isnin, tetapi pada Mak, `esok’ ditafsirnya sebagai Ahad.
Pada Ahad `keesokkanya’, Mak sudah berada di Johor untuk bertemu dengan Sateesh.
Walaupun masih berada di Melaka, Sateesh mengambil keputusan memendekkan percutian bersama keluarga, memandu 200 kilometer pulang ke Johor Baru kerana Mak sudah menunggu untuk dipulangkan dompetnya dengan penuh harapan.
Menurut Sateesh, isterinya mendesak agar dompet itu dipulang semula secepat mungkin dan beliau bersetuju tidak melengah-lengahkan bertindak walaupun anak anaknya akan sedikit kecewa.
Bagi dirinya, Sateesh sedikit pun tidak terasa terkilan kerana pernah kehilangan barang berharga di Singapura satu masa dahulu.
Beliau pernah tercicir telefon bimbitnya sewaktu bekerja di Lapangan Terbang Changi tetapi individu yang memegangnya enggan memulangkan.
Mengikut Sateesh beliau sempat menelefon dan menawarkan ganjaran kepada individu yang memegang telefon itu tetapi talian sengaja diputuskan dan terus hilang hubungan.
Menurutnya, dia tidak mahu orang lain ditimpa perasaan hampa yang sama dan sanggup bertindak mendahulukan keselesaan orang lain.
Berita tindakan Sateesh menerima pujian setelah menjadi tular melalui media sosial – kedua-dua Grab dan penumpang bertuah Carney Mak turut berterima kasih dan memberi habuan.
Syabas Sateesh Karuppusamy – Anda mulia, duta Malaysia!
#Carney Mak #dompet #dompet tercicir #grab #Johor Bahru #Melaka #pemandu #Sateesh Karuppusamy #Singapura
;