Pemandu Grab ditemui lemas

Noraniza Kamsani
Ogos 7, 2019 14:56 MYT
Mayat Wan Khairul Amirin Rojiham ditemui pada jam 9.34 pagi kira-kira 15 meter dari tempat mangsa dihanyutkan arus deras. - Foto ihsan bomba
Kegembiraan empat sahabat yang sedang berkelah di Air Terjun Chamang di Bentong berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.
Mayat Wan Khairul Amirin Rojiham, 25, dari Kampung Baru Sungai Buloh, Jeram, Selangor ditemui pada jam 9.34 pagi kira-kira 15 meter dari tempat mangsa dihanyutkan arus deras.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik, dalam kejadian jam 7.15 malam Selasa, mangsa bersama rakannya sedang mandi di air terjun berkenaan sebelum hanyut dibawa arus deras.
"Mangsa dikatakan pergi ke Air Terjun Chamang kira-kira jam 5 petang semalam bersama tiga rakannya berusia antara 23 hingga 25 tahun.
"Ketika mandi, tiba-tiba mangsa dibawa arus deras. Rakan-rakannya cuba menyelamatkan mangsa namun gagal sebelum pemandu Grab itu hilang dari penglihatan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Beliau berkata, susulan kejadian, satu pasukan mencari dan menyelamat ditubuhkan terdiri daripada anggota bomba dan polis selain bantuan Angkatan Pertahanan Awam (APM) digerakkan untuk mengesan mangsa.
Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Bentong untuk tindakan lanjut.
#Air Terjun Chamang #Bentong #bomba #hilang #lemas #mayat #pemandu Grab
;