Pemandu Grab dijumpai mati dalam kereta di Kepayan

Ruzaini Zulkepli
Disember 3, 2018 18:09 MYT
Ahmad Nasip ditemukan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia. -Gambar Astro AWANI
Misteri kehilangan seorang pemandu Grab sejak Sabtu lalu akhirnya terjawab dengan penemuan mayatnya di dalam sebuah kereta di kawasan letak kereta berhampiran Lintas Jaya, Kepayan, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang Ahad itu, mangsa Ahmad Nasip, 54, ditemukan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji dalam kenyataan medianya hari ini berkata mangsa didakwa hilang oleh ahli keluarganya sejak 1 Disember lalu selepas dilaporkan keluar dari kediamannya di Taman Perumahan Pengalat Papar.
"Mangsa telah menggunakan kenderaan jenis Proton Saga FLX berwarna maroon, tetapi didapati tidak balik ke rumah sejak dari masa keluar rumah.
"Anak perempuan mangsa telah buat laporan polis di IPD Papar mengenai bapanya tidak balik rumah.
Mengulas lanjut, beliau berkata hasil siasatan awal dan laporan pasukan perubatan Hospital Queen Elizabeth (HQE) mendedahkan setakat ini tiada kecederaan dikesan pada badan mangsa juga dipercayai tidak membabitkan sebarang unsur jenayah.
"Kes berkenaan kini diklafikasikan sebagai kejadian mati mengejut," katanya.
#Ahmad Nasip #grab #Habibi Majinji #pemandu Grab #Proton Saga FLX #Taman Perumahan Pengalat Papar
;