Pemandu gagal selenggara kenderaan keluarkan asap hitam dikompaun

Adie Sufian Zulkefli
Ogos 11, 2024 02:30 MYT
Operasi selama tiga jam itu melibatkan seramai 70 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi. - Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengeluarkan dua kompaun kepada pemilik kenderaan bermotor kerana kesalahan melepaskan bahan pencemar melebihi standard ditetapkan dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan di Jalan Sungai Petani - Bakar Arang malam tadi.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata kompaun itu dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 45 kenderaan menerusi Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor melibatkan Ops Sepadu Diesel, Ops Sepadu Petrol, Ops Bunyi Bising Motosikal dan Ops Gas Motosikal.
Katanya, sepanjang operasi itu sebanyak 240 kenderaan telah diperiksa dan dua notis di bawah Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikeluarkan.
Bagi kesalahan itu pemilik kenderaan dikenakan kompaun RM2,000 di bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Dari Enjin Diesel) 1996.
Menerusi pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (2024), Seksyen 22, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Pindaan 2024) memperuntukkan hukuman denda RM10,000 sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun berkaitan pencemaran udara.
"Kompaun dikeluarkan bernilai RM2,000 pada masa yang sama mereka diarahkan untuk membuat penyelenggaraan dan datang semula untuk pemeriksaan," katanya.
Terdahulu Sharifah ditemui pada Operasi Bersepadu yang dilakukan di dua lokasi di daerah Kuala Muda malam tadi.
Dalam operasi selama tiga jam itu melibatkan seramai 70 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS), polis, Jabatan Pengangkutan Jalann (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Sharifah berkata JAS sentiasa komited untuk mengawal punca-punca pencemaran udara daripada pelbagai aktiviti terutamanya di kawasan perbandaran yang disebabkan oleh kenderaan bermotor.
Katanya, Ops bersepadu ini akan terus dijalankan oleh JAS di seluruh daerah bagi memastikan kualiti udara di negeri ini terpelihara serta sentiasa berada dalam keadaan bersih dan sihat untuk rakyat.
Sehubungan itu beliau turut meminta semua pemilik kenderaan untuk sentiasa memastikan kenderaan masing-masing diselenggara secara berkala bagi mengelakkan pelepasan asap berlebihan yang boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar.
#JAS #kompaun #Ops Sepadu Diesel #asap hitam