Pemandu gagal kawal, kereta rempuh kedai alat komunikasi

Petrus Bernard
Januari 9, 2023 21:12 MYT
Kemalangan itu tidak melibatkan kecederaan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59). - Gambar/ Ihsan pembaca
TAWAU: Seorang pemandu gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh premis menjual alat komunikasi di Jalan Mahkamah, Fajar Tawau, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima aduan berkaitan kejadian itu pada jam 10.35 pagi.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati insiden berlaku semasa pemandu kereta itu yang berumur 31 tahun cuba menghidupkan kenderaannya yang diparkir.
"Secara tiba-tiba kenderaan tersebut bergerak terus ke hadapan dan pemandu kereta tidak dapat mengawalnya lalu merempuh masuk ke sebuah kedai alat komunikasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Menurutnya, akibat kejadian itu, pintu kaca kedai pecah manakala kereta berkenaan pula mengalami kerosakan di bahagian hadapan.
Katanya, kemalangan itu bagaimanapun tidak melibatkan kecederaan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
#kereta rempuh bangunan #kedai alat telekomunikasi #Tawau #Sabah
;