Pemandu e-hailing, teksi wajib carum Perkeso mulai 1 Nov

Bernama
Oktober 21, 2018 13:14 MYT
KULA SEGARAN: Pemandu e-hailing, teksi diwajibkan mendaftar menerusi Perkeso berkuat kuasa 1 Nov depan. -Gambar fail
Pemandu penyedia perkhidmatan e-hailing dan teksi diwajibkan mendaftar serta membuat caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkuat kuasa 1 Nov depan.
Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata pihaknya bersama Perkeso telah berbincang dengan Kementerian Pengangkutan mengenai tindakan yang akan dikenakan kepada pemandu teksi dan e-hailing yang gagal berbuat demikian.
"Kita dalam proses untuk mendapatkan kelulusan Kementerian Pengangkutan tentang mekanisme yang akan dikenakan antaranya sebelum lesen sebagai pemandu teksi atau e-hailing diperbaharui mereka perlu menunjukkan bukti bahawa mereka telah mendaftar caruman dengan Perkeso.
"Kita sedang meneliti mekanisme ini dan telah berbincang dengan persatuan teksi dan pemandu e-hailing dan sedang mendapatkan kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan sebelum kementerian itu sendiri membuat pengumuman perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Bersama Pemimpin Masyarakat Peringkat Perkeso Negeri Perak Tahun 2018 di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Kula Segaran berkata sehingga kini, hanya 5,197 daripada 100,000 pemandu teksi dan e-hailing yang mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
"Kita tiada sebab untuk menghukum namun kita harap tidak sampai ke tahap itu. Kita berharap mereka (pemandu teksi dan e-hailing) boleh bekerjasama dan anggota mereka dapat mencarum dengan skim itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata minimum bayaran dikenakan untuk caruman adalah RM157.20 setahun dan maksimum adalah RM592.80 setahun.
"Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini mereka akan menerima manfaat mengikut skala bayaran caruman yang telah dibuat," katanya.
Pada program hari ini, Kula Segaran turut menyampaikan cek bayaran serta alat pemulihan dengan nnilai keseluruhan RM192,022 kepada 17 penerima faedah Perkeso yang hilang upaya kekal dan sebagainya.
-- BERNAMA
#e-hailing #Kula Segaran #Menteri Sumber Manusia #perkeso #Pertubuhan Keselamatan Sosial #Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri #teksi
;