Pemandu e-hailing didakwa bunuh Nurul Asikin
Bernama
Disember 24, 2024 14:33 MYT
Disember 24, 2024 14:33 MYT
KUCHING: Seorang pemandu e-hailing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita, Nurul Asikin Lan, yang mayatnya ditemui di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan, di sini pada 14 Dis lepas.
Ringkasan AI
- Zakwan Mokhtar, pemandu e-hailing, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh Nurul Asikin Lan, yang mayatnya ditemui di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan.
- Zakwan didakwa menyebabkan kematian Nurul Asikin pada 6 Disember dan tiada pengakuan direkodkan kerana kes ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
- Di Mahkamah Majistret berasingan, Zakwan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah memberi maklumat palsu kepada polis berkaitan kes tersebut.
Zakwan Mokhtar, 23, yang tidak diwakili peguam, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Zakwan didakwa menyebabkan kematian Nurul Asikin, 28, pada 6 Dis lepas sebelum mayat wanita berkenaan yang reput serta dalam keadaan menyayat hati, ditemui di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan, di sini pada 9.10 malam, 14 Dis lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh disebat dengan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Syarifah Fatimah Azura menetapkan 10 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes selepas Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei memaklumkan pihaknya sedang menunggu laporan penuh asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat mangsa yang dilaporkan hilang pada 5 Dis lepas.
Di Mahkamah Majistret berasingan, Zakwan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi maklumat palsu kepada polis berkaitan kes berkenaan.
Dia membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan yang turut memerintahkan hukuman penjara tersebut berkuat kuasa hari ini.
Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur pada 8.53 malam,10 Dis lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, Zakwan memberi maklumat palsu selepas takut dan risau mengenai kes kehilangan mangsa telah tular di media sosial.
-- BERNAMA