Pemandu e-hailing beristeri dua didakwa rogol anak tiri

Shuhada Abdul Kadir
Disember 27, 2019 16:05 MYT
Tertuduh yang mempunyai dua isteri itu berhadapan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Selama dua tahun merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak tirinya, seorang pemandu e-hailing akhirnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini hari ini.
Tertuduh yang berusia 42 tahun itu bagaimanapun, mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.
Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan meraba payudara dan kemaluan mangsa yang ketika itu berusia 13 tahun.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh yang mempunyai dua isteri itu berhadapan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Tertuduh turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan terhadap mangsa yang sama tanpa kerelaannya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Melekek, Alor Gajah sekitar Februari 2017 dan 8 November lalu.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Muhammad Firdaus Othman tidak mencadangkan sebarang jaminan dengan mengambil kira tertuduh masih tinggal serumah dengan mangsa dan pembebasannya dikhuatiri boleh mengganggu remaja itu yang juga saksi pendakwaan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun, merayu mahkamah membenarkan ikat jamin memandangkan dia perlu menguruskan isteri pertama serta enam lagi anak yang menetap di Shah Alam, Selangor.
Ahmad Sazali pada penghakimannya tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
#beristeri dua #pemandu e-hailing #rogol anak tiri
;