Pemandu ditangkap bermain Pokemon GO berdepan tindakan tegas - Polis
Bernama
Ogos 11, 2016 17:08 MYT
Ogos 11, 2016 17:08 MYT
Polis akan bertindak tegas terhadap mereka yang bermain ‘Pokemon GO’ ketika memandu dan mereka yang didapati berbuat demikian boleh dikenakan denda RM300.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Persekutuan SAC Datuk Mahamad Akhir Darus berkata permainan menggunakan telefon mudah alih itu boleh membahayakan pemandu dan pengguna jalan raya lain.
“Kami ingin mengingatkan pemandu kenderaan supaya tidak mengundang bahaya untuk diri sendiri dan pengguna jalan raya lain dengan bermain ‘Pokemon GO’ ketika memandu kerana mereka tidak dapat memberi tumpuan serta menyebabkan kemalangan.
"Menggunakan telefon semasa memandu adalah suatu kesalahan, termasuk sekiranya mereka didapati memegang telefon dan menggunakan messenger WhatsApp ketika menunggu di lampu isyarat (untuk bertukar hijau)," katanya kepada Bernama selepas merasmikan kursus penggunaan alat Evidential Breath Analyser selama empat hari di sini hari ini.