Pemandu didakwa sengaja tinggal penumpang lewat seminit, Mara Liner tampil mohon maaf

Gempak
September 23, 2023 18:37 MYT
Video tular di media sosial berkenaan seorang penumpang ditinggalkan pemandu bas kerana didakwa lewat menaiki kenderaan berkenaan selama satu minit dari yang dijadualkan. -Gempak
SYARIKAT pengangkutan bas, Mara Liner Sdn Bhd tampil membuat permohonan maaf kepada semua pihak susulan tindakan pemandunya meninggalkan penumpang sehingga tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zachary Ismail pihaknya turut memberi jaminan bahawa insiden berkenaan tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.
“Pengurusan MARALiner kesal di atas insiden yang telah berlaku kepada penumpang bas ekspres MARALiner Kuala Terengganu - Melaka tempoh hari.
“Kami telah menghubungi penumpang terbabit bagi menzahirkan permohonan maaf dan rasa kesal,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu menerusi kenyataan yang sama, pihaknya memaklumkan siasatan dalaman juga dibuat sejurus aduan tersebut diterima dan tindakan susulan ke atas pemandu terlibat juga telah diambil.
“Siasatan dalaman juga telah di mulakan sejurus selepas aduan diterima dan tindakan susulan ke atas pemandu terbabit juga telah diambil.
“MARALiner sekali lag memohon maaf kepada semua dan berharap insiden seperti ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan,” jelasnya.
Terdahulu, tular di media sosial berkenaan dengan seorang penumpang ditinggalkan pemandu bas sebuah syarikat swasta kerana didakwa lambat menaiki kenderaan berkenaan selama satu minit dari yang dijadualkan.
Menerusi video tular berdurasi 27 saat di TikTok, lelaki tersebut dilihat berlari dan memanggil pemandu berkenaan yang baru sahaja bergerak meninggalkan stesen, namun tidak diendahkan. -Gempak
#pemandu tinggalkan penumpang #lewat seminit #MARALiner #video tular
;