Pemandu dan kelindan maut, lori dinaiki terbabas
Bernama
Mac 18, 2025 11:10 MYT
Mac 18, 2025 11:10 MYT
Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat. - Gambar hiasan
SEREMBAN: Pemandu dan kelindan maut apabila lori membawa muatan pakaian pekerja kilang yang dinaiki mereka terbabas di KM 226.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara (Ayer Keroh-Senawang) di sini awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau DSP Azmi Ali berkata dalam kejadian kira-kira 2.15 pagi itu, mangsa masing-masing berusia 32 dan 39 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
"Siasatan awal mendapati lori jenis Mitsubishi Fuso yang dipandu lelaki bersama kelindannya itu dalam perjalanan dari arah Melaka menuju ke Senawang.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, kenderaan terbabit tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas lalu terbalik ke sebelah kiri laluan kecemasan. Cuaca ketika itu baik dan pencahayaan di lokasi adalah gelap dan tidak berlampu," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA