Pemandu CRV maut tersepit nahas dengan lori

Sinar Harian
Mac 22, 2023 11:30 MYT
Keadaan kemalangan yang melibatkan sebuah Honda CRV dan lori berdekatan klinik Padang Luas pada Rabu. -Foto JBPM
BERA: Seorang lelaki maut akibat tersepit dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dan lori berdekatan Klinik Padang Luas di sini pada Rabu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.41 pagi.
Menurutnya, sembilan anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang bersama dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
"Terdapat seorang lelaki dewasa iaitu pemandu SUV tersepit dalam kenderaan tersebut.
"Pasukan membuat operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Zulfadli berkata, mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia sebelum dihantar oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke hospital. -Sinar Harian
#Balai Bomba dan Penyelamat #SUV #Honda CRV #Klinik Padang Luas
;