Pemandu cedera, treler jatuh gaung 15 meter di LPT

Sinar Harian
Mac 26, 2023 13:54 MYT
Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.43 pagi dan tujuh anggota serta seorang pegawai bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian. - Gambar/ Sinar Harian
BENTONG: Seorang lelaki cedera selepas treler yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 15 meter di Kilometer 42.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hala Timur pada Ahad.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa berusia 30-an telah dibantu dan dikeluarkan oleh orang awam.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.43 pagi dan tujuh anggota serta seorang pegawai bersama sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
"Kejadian itu melibatkan sebuah treler jenis Nissan yang terjatuh ke dalam gaung.
"Terdapat seorang lelaki dewasa mengalami kecederaan dan dikeluarkan dengan bantuan orang awam," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, mangsa diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan selanjutnya. - Sinar Harian
#treler terbabas #LPT #pemandu cedera #Lebuhraya Pantai Timur
;