Pemandu cedera kereta terhumban ke dalam laut
Siti Nur Aqilla Omar
Disember 9, 2019 20:23 MYT
Disember 9, 2019 20:23 MYT
Seorang pemandu cedera apabila kereta jenis Proton Iriz yang dipandunya terlibat dalam kemalangan langgar lari sehingga terhumban ke dalam laut di Pantai Lido, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kejadian itu berlaku pada Ahad kira-kira jam 6.20 pagi di mana petugas Balai Polis Sentral telah terima maklumat terdapat satu kemalangan di Kilometer 1.5 Jalan Skudai Pantai Lido, Johor Bahru.
Katanya, mangsa dikenali sebagai K. Devan, 30 manakala penumpang kenderaan tersebut dikenali sebagai E. Pammirselvam, 30 tahun.
"Pemandu hanya mengalami kecederaan luka kecil di bahagian pergelangan tangan sebelah kanan. Manakala penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Berdasarkan maklumat diberikan oleh orang awam yang tampil di Balai Polis Sentral, mendakwa telah melihat satu kemalangan jalan raya. Kemalangan berlaku apabila pemandu itu dari arah Skudai menghala ke arah Pusat Bandar.
"Setibanya di tempat kejadian, kereta telah dilanggar lari dari arah belakang oleh kenderaan lain yang tidak dapat dipastikan nombor pendaftarannya.
"Perlanggaran tersebut menyebabkan kenderaan itu gagal dikawal lalu terbabas melanggar tembok jalan sebelah kanan dan terhumban ke dalam laut.
"Kedua-dua mangsa telah tampil ke Bahagian Trafik IPD Johor Bahru Selatan dan membuat laporan bersabit kemalangan itu," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Shahurinan, pada masa kejaduan, mangsa telah diselamatkan oleh orang awam yang melihat kejadian itu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.