Pemandu cedera bas terbalik di Lebuhraya Elite
Hakim Rahman
Mei 9, 2016 12:58 MYT
Mei 9, 2016 12:58 MYT
Seorang pemandu bas cedera apabila bas dipandunya terbalik selepas merempuh belakang kereta di Kilometer 14.7 Lebuhraya Elite.
Bagaimanapun tiada penumpang di dalam bas ketika ia merempuh kereta berkenaan dalam kejadian sekitar 9 malam tadi itu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan selepas melanggar kereta, bas berkenaan hilang kawalan dan terbalik di tengah-tengah laluan lebuh raya.
Dua jentera, masing-masing dari balai bomba dan penyelamat Cyberjaya serta Subang Jaya, dikerahkan untuk mengeluarkan pemandu bas yang tersepit.
Pemandu kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu bas pula cedera di kaki dan dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.