Pemandu bot maut, penumpang hilang dalam insiden bot karam

Bernama
September 21, 2016 23:22 MYT
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, dua lagi penumpang terselamat. -Gambar hiasan
Seorang pemandu bot mati lemas manakala seorang penumpang masih hilang apabila bot yang dinaiki mereka karam berhampiran jeti Pelabuhan Klang dekat sini, petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, dua lagi penumpang terselamat.
Kesemua empat lelaki itu berusia antara 20 hingga 47 tahun.
"Mangsa yang terselamat dikenali sebagai Swapnil Sunil Padgelwar dan Nirmalpal Singh yang merupakan warga India, manakala mangsa yang hilang juga warga India dikenali sebagai Zorawar Singh dan operasi mencarinya masih diteruskan," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Mohd Sani berkata ketiga-tiga warga India itu merupakan anak kapal MV Linau 6 yang sedang berlabuh di jeti berkenaan.
Katanya mangsa yang maut pula dikenali sebagai Tan Bun Hiang, seorang warga tempatan, dan mayatnya ditemui berhampiran lokasi kejadian kira-kira 8 malam.
Mayat Tan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat.
#mati lemas #Pelabuhan Klang #pemandu bot #penumpang hilang #Sani Harul
;