Pemandu bas tersepit, 36 penumpang terselamat
Sinar Harian
Mei 28, 2024 11:00 MYT
Mei 28, 2024 11:00 MYT
KUANTAN: Seorang pemandu bas cedera akibat tersepit manakala 36 lagi penumpang terselamat dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan lori tiga tan di Kilometer 218 Lebuhraya Pantai Timur Timur Kuantan-Kuala Terengganu awal pagi Selasa.
Turut terselamat, pembantu bas dan dua lelaki iaitu pemandu serta kelindan lori dalam kejadian yang dikatakan berlaku kira-kira jam 1.20 pagi itu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, tujuh pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.22 pagi.
"Sebaik tiba, kita dapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dan lori tiga tan. Terdapat seorang lelaki iaitu pemandu bas cedera akibat tersepit manakala seorang pembantu bas selamat.
"Seramai 36 lagi penumpang bas dan dua lelaki iaitu kelindan serta pemandu lori selamat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Zulfadli berkata, pasukan Bomba membuat operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan alat penyelamatan.
"Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada ambulan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk tindakan selanjutnya," katanya. - Sinar Harian